Monday, June 9, 2008

Hari mendatang semakin sukar?

Sejak kebelakangan ini, rata-rata masyarakat hangat membicarakan tentang kenaikan harga barang terutamanya harga petroleum. Memang sungguh terasa dengan kadar kenaikan sekarang. Pada malam Pak Lah mengumumkan kenaikan harga petrol selepas 12 malam menerusi Buletin Utama TV3, kira-kira jam 8.30 malam, saya terus ke stesen minyak berdekatan di Jalan Reko Bangi untuk merebut peluang yang sedikit itu. Anak-isteri turut saya bawa bersama untuk mengisi minyak. Suasana malam tersebut penuh sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu mengisi minyak. Boleh dikatakan seperti 'bottle neck' menurut istilah yang saya timba semasa bekerja di syarikat ICT dahulu apabila sesebuah rangkaian yang banyak cuba memasuki satu destinasi yang sama dan kecil yang menyebabkan perjalanan menjadi amat perlahan . Kira-kira dua jam setengah barulah minyak dapat diisi.
Inilah dikatakan inflasi yang mana ramai orang mengejar sedikit barangan, menurut istilah ekonomi yang saya belajar di Universiti dulu. Laungan berjimat cermat mula diwawarkan oleh pihak-pihak tertentu dan media. Subsidi untuk orang miskin akan diberikan sebagai 'ubat penenang' rakyat yang marah dengan kejadian ini. Namun kemarahan masyarakat masih tidak reda-reda. Kita merasa seolah-olah menjadi mangsa ketidakadilan ekonomi. Namun setelah berfikir dengan akal dan iman yang senipis kulit bawang ini, saya merasa tenang kembali. Sabda Nabi yang lebih kurang maksudnya, Orang Mukmin itu baik dan apa berlaku ke atasnya semuanya baik belaka. Jika dia ditimpa musibah, dia sabar. Jika dilimpah kebaikan, dia syukur.
Sebenarnya Islam itu jalan penyelesaian bagi semua permasalahan umat manusia. Namun manusia tetap membuat kerosakan. Konsep 'pasaran hadapan' atau 'futures' dalam barang komoditi petroleum mengamalkan prinsip ketidaktentuan atau 'uncertainty', tapi kita masih berurusniaga. Sistem Ekonomi Kapitalis mengamalkan penindasan terhadap mereka yang tidak ada modal, kita amalkan. Zakat perniagaan jauh sekali. Syarikat-syarikat yang sepatutnya mengamalkan tanggungjawab sosial dan ta'awun (gotong royong) pada situasi hari ini mengenepikan peranan mereka untuk membantu secara langsung terhadap harga, tidak berbuat demikian dan mementingkan keuntungan semata-mata difikirkan. Yang sedihnya, apabila semua ini berlaku, kita mahukan Islam menyelesaikan permasalahan tersebut. Seumpama anak murid saya tahun 4 yang suka membaca komik untuk menjawab soalan peperiksaan PKSR1 yang lepas. Bila keputusan diperolehi, sudah tentulah gagal. Jadi....?