Sunday, July 12, 2009

PPSMI Dimansuhkan 2012

Sekarang kementerian pelajaran mengakui perlaksanaan PPSMI suatu kesilapan. Namun demikian pihak kementerian mengambil pendekatan untuk melengkapkan 'kitaran' sehingga tahun 2012. Tun Mahathir yang mencetus PPSMI menyatakan perasaan dukacita beliau terhadap pemansuhan ini. Semasa saya bersembang sesama guru, sebilangan mereka tidak bersetuju dengan pemansuhan ini, manakala majoriti menyokong pemansuhan PPSMI. Masing-masing ada pandangan yang tersendiri. Sebagai guru, kita diajar supaya menurut perintah pekeliling dan peraturan yang telah ditetapkan. Apa yang penting sekarang adalah sikap kita terhadap Bahasa Melayu itu sendiri. Buat masa sekarang, saya tengah membantu isteri menyiapkan tesis sarjananya tentang sikap bahasa terhadap Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu. Alhamdulilah, ramai bukan Melayu sedar betapa pentingnya mempelajari Bahasa Melayu..Hasil hipotesis kajian tersebut tengah disiapkan oleh isteri. Saya cuma dapat membaca separuh sahaja. Apa yang penting ialah Bahasa Melayu perlulah dimartabatkan bukan setakat majlis rasmi sahaja, tetapi di dalam setiap majlis dan urusan perniagaan global. Sepanjang 10 tahun saya bekerja dalam sektor korporat yang lalu, mesyuarat dan laporan kewangan yang penting semuanya dalam Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu telahpun dipinggirkan.

Saturday, March 7, 2009

Pandangan seorang guru kerdil tentang isu PPSMI

Hari ini isu PPSMI menjadi semakin hangat. Tambah menghangatkan lagi apabila tokoh-tokoh budayawan, bahasa dan tokoh akademik mula menyatakan bangkangan terbuka terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains di peringkat sekolah terutamanya sekolah rendah.
Saya percaya bahawa pandangan tokoh-tokoh tersebut ada benarnya. Pada tahun 2008, saya berpeluang untuk mengajar satu kelas tahun 4 dalam subjek Matematik. Walaupun bukan opsyen saya dalam bidang Matematik, namun disebabkan Ijazah saya dalam bidang kewangan saya rasa tidak menghadapi masalah untuk mengajarnya. Sangkaan saya meleset sama sekali. Pada mulanya saya mengajar dalam subjek Matematik menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Namun murid-murid saya terpingga-pingga kepeningan. Selepas mendapat maklum balas yang negatif, saya mula menurunkan tahap Bahasa Inggeris saya. Masih juga murid-murid saya terpingga-pingga. Ini memaksa saya mengajar dwi-bahasa dan akhirnya murid-murid mula faham apa yang diperkatakan. Oleh kerana kesiankan akan pencapaian anak murid, saya mula melanggar arahan dengan mengajar dalam Bahasa Melayu. Hasilnya murid-murid saya yang terdiri daripada Melayu dan India lebih cepat memahami hasil pembelajaran. Malangnya, peperiksaan yang diambil pula dalam Bahasa Inggeris menjadikan markah mereka merosot daripada yang sepatutnya mereka dapat. Dalam peperiksaan, terdapat ramai murid keliru dengan istilah yang digunakan kerana mereka kurang perbendaharaan kata. Perkara ini saya utarakan dalam mesyuarat Post-Mortem Keputusan Peperiksaan. Namun saya pula ditempelak oleh Panitia Matematik dan Panitia Bahasa Inggeris. Jadi pandangan secara jujur saya tidak diterima. Jadi saya berhenti setakat itu sahaja. Tahun 2009, saya tidak lagi mengajar Matematik. Saya disuruh mengajar Bahasa Melayu pula.