Sunday, July 27, 2008

Peranan guru sebagai agen perubah masyarakat

Tugas guru adalah satu amanah Allah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Dalam situasi hari ini, murid tidak lagi melihat profesyen perguruan adalah yang pilihan yang teratas. Apabila ditanya kepada murid-murid sekolah rendah yang belum matang mengenai cita-cita mereka, rata-rata akan memilih menjadi doktor atau polis.Menjadi seorang pegawai perubatan kerana hendak menolong orang sakit. Menjadi seorang anggota polis untuk menangkap para penjahat. Sifat keprihatinan mereka terhadap orang sekeliling masih lagi menebal. Semakin matang pemikiran seorang murid tersebut, cita-cita mereka juga turut berubah, ditambah pula dengan peranan kewangan dalam segala aspek kehidupan , mereka kemudiannya memilih untuk menjadi kaya. Jika tanpa iman dan pedoman yang betul, mereka akan membesar ke arah berfahaman Maddiyyah atau kebendaan yang melampau. Soal halal, haram, dosa dan pahala tidak lagi menjadi persoalan. Serba boleh yang tidak kena pada tempatnya. Sikap individualistik mengatasi sifat keprihatinan mereka terhadap masyarakat. Apabila mereka memasuki zaman universiti, ‘output-output’ inilah yang dikatakan sebagai mahasiswa-mahasiswi lesu. Mereka akan berjuang untuk nasib mereka sendiri dan tidak melibatkan kepentingan masyarakat. Apabila mereka menceburi bidang kerjaya dan sebagai contoh, menjadi doktor, mereka menjual dadah kepada para penagih di klinik-klinik sendiri, apabila menjadi anggota polis, mereka mudah gelap mata dengan habuan pelanggar undang-undang. Apabila menjadi guru, mereka memberi contoh yang tidak baik kepada rakan sekerja dan murid-murid. Oleh itu, para guru dan para pendidik tidak kira apapun taraf atau pangkat seharusnya mengorak langkah bersama-sama berganding bahu sebagai agen atau pencetus ke arah perubahan masyarakat yang lebih baik dari segi nilai moralnya dan kehambaan kepada Tuhan. Sekolah tidak seharusnya dijadikan sebagai tempat perniagaan untuk mengaut keuntungan monetari yang sedikit. Para pentadbir tidak wajar mengambil apa-apa ‘komisen’ yang diberikan oleh pihak yang mendapat projek. Seandainya para guru ingin membuat kerja sampingan untuk menampung kehidupan yang kian terdesak, jangan jadikan sekolah atau waktu persekolahan sebagai medannya. Ini kerena kita adalah agen perubah masyarakat.

No comments: